Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my

|
|
Shahrizat Abd. Jalil melihat muka depan Utusan Malaysia mengenai isu buang bayi di Ipoh bersama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid (kanan), Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Datuk Dr. Nurul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd. di lobi Parlimen, semalam.
|
KUALA LUMPUR 22 Mac – Geram sampai tak terkata.Kes terbaru buang bayi berhampiran tempat pembuangan sampah di Ipoh, Perak, semalam, cukup mengecewakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Ini kes keenam pembuangan bayi yang dilaporkan tahun ini dengan kebanyakannya sudah menjadi mayat dan ditemui dalam keadaan meruntun jiwa.
Shahrizat kesal di sebalik banyak laporan dan pendedahan oleh media mengenai kes-kes buang bayi, gejala sosial itu semakin menjadi-jadi.
“Ke mana ghaibnya bapa semua bayi ini?” soalnya ketika ditemui Utusan Malaysia di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Tegas Shahrizat, tumpuan kes pembuangan bayi tidak patut difokuskan kepada si ibu semata-mata bahkan perlu menjejaki si bapa yang enggan bertanggungjawab terhadap kelahiran bayi malang itu.
Justeru menatap laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan wajah bayi dipercayai keturunan Melayu itu, beliau terpanggil untuk menyokong kempen Kami Prihatin yang digerakkan oleh akhbar ini.
Projek amal itu yang mendapat sokongan karyawan tanah air dianjurkan bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat tentang gejala sosial yang menyebabkan berlakunya perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti buang bayi dan penderaan kanak-kanak.
Menurut Shahrizat, kementerian sendiri telah menjalankan pelbagai program bagi menangani gejala sosial termasuk isu pembuangan bayi dan penganiayaan kanak-kanak.
Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya, kata beliau, kementerian menyediakan tempat di rumah-rumah perlindungan untuk bayi dan kanak-kanak yang dibuang serta wanita yang hamil anak luar nikah.