KUALA LUMPUR 10 Nov. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mengakui kesilapan beliau kerana mendedahkan wujudnya amalan bai'ah cerai talak tiga di kalangan wakil rakyat Pas.
Beliau bagaimanapun tetap bertegas tidak akan menarik balik kenyataan tersebut.
Dengan pengakuan itu, Khalid memberitahu, isu tersebut telah selesai dan tidak berbangkit lagi.
"Saya mengakui kesilapan saya mendedahkan bai'ah (perjanjian) antara saya dengan Allah.
"Saya sepatutnya tidak berbuat demikian dan seharusnya mempertahankan dalam keadaan sebegitu (rahsiakan)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas pendiriannya selepas pucuk pimpinan Pas menafikan wujudnya bai'ah talak tiga bagi menghalang wakil rakyatnya melompat parti seperti mana yang diakui beliau beberapa hari lalu.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan amalan itu dipraktikkan secara meluas adalah tidak benar dan pihaknya yang memandang serius perkara itu sedang melakukan siasatan lanjut.
Khalid bagaimanapun bertegas, beliau tidak akan memohon maaf kepada pucuk pimpinan kerana Pas mengamalkan kebebasan bersuara.
Bahkan, beliau mengesahkan sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil terhadapnya mengenai isu tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Hadi ketika ditemui di lobi Parlimen turut menganggap isu bai'ah telah selesai dan tidak perlu dilayan lagi.
Katanya, siasatan terhadap Khalid juga tidak perlu.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menolak dakwaan yang mengatakan Khalid kini menjadi liabiliti kepada parti itu ekoran tindakan Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan yang kerap mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan pucuk pimpinan parti.
"Saya rasa pandangan berbeza biasa dalam Pas, kami terbuka serta demokratik dan setiap orang bebas mengeluarkan pendapat.
"Bagi saya, ia suatu yang dinamik apabila semua orang bebas memberi pandangan. Itu percambahan minda yang sihat dalam parti," jelasnya.
Tambahnya, Pas juga tidak perlu memberi sebarang penjelasan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berhubung isu itu walaupun beliau telah meminta pucuk pimpinan Pas berbuat demikian semasa sidang Dewan Rakyat semalam.
"Pas pusat tidak perlu membuat penjelasan apa-apa kerana kami tidak keluarkan perkara itu (arahan bai'ah). Apa yang menjadi amalan kami ialah bai'ah taat setia ketika seorang wakil rakyat dilantik memegang jawatan sahaja," katanya.