KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pelbagai pihak termasuk menteri dan aktivis Khamis memuji keputusan kerajaan menolak permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng untuk pulang ke Malaysia kerana kepulangannya boleh menyebabkan lebih banyak masalah di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir berkata Chin Peng tidak sepatutnya dibenarkan pulang kerana dia telah menyebabkan terlalu banyak masalah dan rasa tidak puas hati rakyat dan negara di mana banyak nyawa terkorban untuk menyekat kegiatan komunis dan menjaga keselamatan negara pada era itu.
" Jadi saya tidak bersetuju langsung dengan mana-mana cadangan bahawa dia sepatutnya dibenarkan pulang. Untuk membenarkan pemimpin utama komunis ketika itu pulang ke negara ini merupakan satu penghinaan kepada semua yang terkorban, semua yang berkorban untuk memastikan seluruh negara selamat dan aman," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk terbaru Accuwest Sdn Bhd di sini.
Beliau berkata Chin Peng juga tidak dialu-alukan pada masa ini kerana negara kini berhadapan dengan cabaran global untuk bergerak ke hadapan.
"Kita kini telah lama hidup dalam keadaan harmoni, ada beberapa masalah kecil di sana sini yang belum diselesaikan. Jadi saya fikir kita tidak perlukan masalah lagi dengan cadangan dia sepatutnya diberikan kebenaran untuk pulang," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan Chin Peng yang kini menetap di Hatyai, Thailand pulang ke negara ini, walaupun atas dasar kemanusiaan selepas cubaannya untuk itu ditolak Mahkamah Persekutuan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia atas faktor kemanusian.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal berkata semua pihak harus menerima keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri tersebut.
"Ia adalah satu peninggalan yang tidak harus kita timbulkan lagi. Sebaliknya buat masa sekarang, orang ramai harus memikir dan memberi perhatian dalam mengeratkan hubungan antara generasi yang ada hari ini untuk masa depan yang lebih cerah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pecah tanah dan upacara menandatangani perjanjian bina dan sewa Lot 348, Central Office Tower kepada Shell Group Malaysia di sini hari ini.
"Buat ketika ini, langkah seperti itu (menyokong permohonan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia) tidak wajar dan ia sepatutnya diteliti dengan baik kerana kesannya ada," kata Shafie.
Shafie juga mempersoalkan keuntungan dan kelebihan yang bekas pemimpin PKM itu boleh bawa masuk ke negara ini.
Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata pandangan orang ramai yang mewakili majoriti rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan dalam membuat keputusan kerana ia merupakan isu sensitif yang perlu ditangani dengan berhemah.
Katanya alasan kemanusiaan tidak boleh dijadikan alasan untuk membawa pulang Chin Peng sebaliknya kerajaan perlu mengambilkira pandangan majoriti rakyat.
"Kita perlu akur dengan kehendak dan pandangan majoriti rakyat. Alasan kemanusiaan tidak boleh diguna dalam isu ini dan ia tidak boleh ditimbulkan sama sekali.
"Kalau majoriti rakyat tidak bersetuju memang kerajaan tidak patut pertimbangkan. Ini Isu sensitif. Jika rakyat tak setuju jangan benarkan," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Lim Swee Tin pula berpendapat, keputusan kerajaan untuk menolak permintaan dan cadangan yang dikemukakan itu adalah tepat demi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.
Lim berkata seharusnya seseorang ahli politik itu menumpukan usaha untuk membangunkan negara daripada berfikir untuk memperbesarkan isu yang tidak membawa apa-apa makna ini.
"Kadang-kadang pemimpin politik ini seakan hilang fokus. Ramai rakyat yang perlukan bantuan...mengapa Chin Peng yang perlu dijaga dan diberi perhatian.
"Kenapa bersusah payah untuk membawanya kembali. Kalau bawa balik pun ia tidak akan mengubah sejarah dan perlu diingat kenangan dan penderitaan yang telah dibawanya boleh menimbulkan memori berdarah kepada keluarga mangsa dan anggota tentera yang terlibat," katanya.
Beliau juga menyatakan sokongan dan berpendirian seiring dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan bekas pemimpin PKM itu dibenarkan pulang ke Malaysia.
"Semua rakyat tahu sejarah yang ditinggalkan komunis...bukan sahaja Chin Peng, kesengsaraan yang dibawa tidak wajar dilupakan begitu sahaja.
Semasa era keganasan kumpulan PKM beribu-ribu orang awam dan anggota tentera terbunuh ketika Chin Peng dan rakan-rakannya melancarkan perang gerila hutan antara 1948 sehingga mereka meletak senjata pada 1989.
"Kita telah alami kesengsaraan tersebut. Janganlah diungkitkan isu yang boleh membangkitkan sensitiviti kaum. Utamakan sensitiviti dan jiwa raga mereka yang pernah ditindas. Biarlah sejarah Chin Peng tinggal dalam lipatan sejarah, katanya.
-- BERNAMA