SEREMBAN 20 Mei - Langkah Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bukan bermakna pengecut tetapi kerana tidak mahu terikut-ikut dengan rentak politik murahan pakatan pembangkang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) menjelaskan, politik pembangkang yang menjadikan demokrasi sebagai alat mainan sepatutnya tidak dilayan.
Jelas beliau, BN tidak seharusnya termakan dengan perangkap provokatif yang diumpan pembangkang kerana jelas ia membuang masa selain menghabiskan wang rakyat.
"Kita akan bertanding sekiranya ia diadakan atas lunas-lunas Perlembagaan dan perlu diisi disebabkan oleh sama ada wakil rakyat meninggal dunia atau kerana perintah mahkamah,'' tegasnya.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Mohamad berkata, BN tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat sebaliknya terus menjalankan khidmat terbaik walaupun di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang.
"Walaupun kita (BN) tidak bertanding di kawasan itu bukanlah bermakna kita menghentikan khidmat kepada mereka yang selama ini menyokong BN.
"Kita akan teruskan pembangunan rakyat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan Persekutuan," jelasnya.