PULAU PINANG 21 April - Perbalahan antara parti komponen kerajaan campuran negeri, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan perkongsian kuasa mereka ternyata rapuh.
Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, kedua-dua parti itu sepatutnya tidak harus bertelagah memandangkan dikatakan berpegang atas semangat setiakawan.
''Hari ini dalam laporan akhbar, Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim membidas tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng menggunakan saluran media untuk melahirkan rasa tidak puas hati.
''Sepatutnya, berlandaskan prinsip setiakawan, mereka harus menggunakan saluran betul untuk membincangkan mengenai isu dalaman dan bukannya 'mencanang-canang' menerusi media massa,'' katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai situasi yang berlaku antara DAP dan PKR negeri.
Semalam, Zahrain membidas tindakan Guan Eng yang menggunakan media sebagai perantaraan untuk menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap PKR serta penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Guan Eng menyuarakan kekecewaannya berhubung isu calon pengganti Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) serta peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penanti menerusi media.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana kedua-dua parti itu mempunyai saluran dalaman untuk berbincang.
Tambah Azhar, 'perang media' antara DAP dan PKR ternyata memperlihatkan kegoyahan kerajaan negeri walaupun baru sahaja menerajui Pulau Pinang.
''Kalau kita imbas kembali ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini, UMNO dan Gerakan sememangnya memupuk semangat setiakawan yang sejati.
''Misalannya pada tahun 1990, Gerakan hanya menang tujuh kerusi manakala UMNO 12 kerusi tetapi kami tetap berikan jawatan Ketua Menteri kepada Gerakan.
''Dalam situasi kerajaan baru ini, isu TKM 1 pun masih belum selesai, mereka dah nak 'berperang' pula,'' jelasnya.