Suatu ketika dahulu, kerbau sering digunakan dalam membajak sawah. Kudrat kerbau yang gagah itu diperlukan untuk menarik alat pembajak yang dipasang pada badannya.
Selepas habis kerja membajak pada sesuatu hari, kerbau itu dilepaskan untuk mencari makan, minum, bergurau-senda dengan anak-bini dan melepak-lepak di dalam kubangnya. Keesokannya, bila kudrat kerbau itu diperlukan untuk membajak tanah yang belum dibajak, ia akan dikerah lagi. Begitulah rutin hidup kerbau.
Kita tidak pernah jumpa kerbau berkreativiti dan berinnovasi untuk memudahkah proses pembajakan itu. Malah kita tidak jumpa kerbau itu ada inisiatif sendiri nak membajak sawah itu tanpa perlu disuruh-suruh oleh tuannya. Jika hari ini kita ajar kerbau itu membajak sawah, jangan haraplah kita nak jumpa kerbau itu akan membajak sawah dengan sendiri tanpa kita menyuruhnya. Itulah cara hidup kerbau daripada dahulu sehingga sekarang.
Kenapa kerbau hidup seperti itu? Sebab akal mereka terbatas. Mereka tidak diberi akal yang mengizinkan mereka berkreativiti dan berinnovasi serta ada inisiatif sendiri untuk menyempurnakan tugas tanpa perlu disuruh-suruh. Mereka perlu diketuk dahulu, barulah nak berjalan.
Oleh kerana Allah beri kita akal yang tidak terbatas, apakah kita hendak hidup seperti kerbau tersebut? Apakah kita tidak tahu berkreativiti dan berinnovasi dalam hidup? Apakah kita tidak ada inisiatif untuk mengubah keadaan sekeliling kita dan hidup hanya melepak-lepak seperti kerbau di dalam kubang?
Ramai manusia tidak sedar mereka hidup seperti kerbau itu. Dan ada pula yang suka membiarkan diri mereka menjadi kerbau yang dicucuk hidungnya dan dibelenggu dengan tali ciptaan manusia yang menurut hawa nafsu.
Contohnya dalam mengkaji, menyelidik dan memahami Al Quran, ramai orang yang mengaku Islam lebih suka memilih cara hidup kerbau itu. Mereka tiada inisiatif sendiri, tiada kreativiti, tiada innovasi dalam memahami Al Quran bagi memperlihat kesyumulan ajaran Al Quran. Mereka belenggukan akal mereka mengikut amalan tradisi yang tidak wujud di dalam Al Quran dan bersangka-sangka atas perbuatan orang-orang terdahulu, sedangkan Al Quran sebut, pada persangkaan tiada kebenaran.
Macam mana mereka boleh hidup sebegitu sedangkan mereka dikurniakan otak manusia bukannya otak kerbau?