KEMATIAN Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, kanak-kanak berusia tiga tahun yang dibunuh secara kejam oleh seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan di Ulu Yam Lama, baru-baru ini mencatat satu lagi episod sedih melibatkan kanak-kanak di negara ini.
Sejak berita mengenai kejadian itu disiarkan di dada akhbar dan televisyen, ramai yang sayu dan menitiskan air mata apabila membayangkan penderitaan saat-saat kanak-kanak malang itu menemui ajalnya Khamis lalu.
Pada usia yang begitu muda, kanak-kanak tidak berdosa itu disepak dan diterajang seperti bola, malah pernah dilaporkan mengalami penderaan fizikal oleh suspek sebelum ini.
Begitu rapuhnya institusi kekeluargaan di negara ini. Kita masih tidak dapat melupakan kejadian pembuangan bayi yang baru dilahirkan, dan berlaku secara berturutan dalam selang beberapa hari, timbul pula kes penderaan kanak-kanak yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah.
Kejadian yang menimpanya begitu tragis. Kenapa kanak-kanak sekecil itu dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Apalah yang difahaminya sehingga perlu melalui penderitaan didera sebegitu teruk hanya disebabkan kesalahan kecil yang dilakukannya.
Sama ada tidak wujud rasa kasih sayang dalam diri pelaku jenayah dera itu, atau baginya kanak-kanak itu adalah satu beban kerana menjadi sebahagian daripada ahli keluarga tanpa dirancang.
Namun timbul persoalan, kenapa sejak dari awal lagi, kanak-kanak itu dibiarkan tinggal bersama seorang individu yang tidak dikenali identitinya?
Kenapa keluarga itu merestui hubungan pasangan tersebut, sedangkan wanita itu difahamkan masih bersuami. Sepatutnya, dari awal lagi hubungan haram ibu kanak-kanak tersebut dihalang oleh keluarga.
Bukan niat kita untuk mencari salah sesiapa, tetapi sebagai rakyat Malaysia, kita harus sedar inilah segelintir masalah yang berlaku dalam institusi keluarga di negara.
Tiada naluri untuk ambil peduli, biarpun perkara yang berlaku itu membabitkan ahli keluarga sendiri dan secara tidak langsung ia menjadikan yang haram menjadi halal, sedangkan sepatutnya perbuatan itu dibanteras dari awal.
Hasilnya, tanpa pembabitan dan campur tangan masyarakat, inilah natijah yang berlaku dan yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak malang yang bernama Syafiah Humairah.
Sikap sebegini boleh dikembangkan dalam kes-kes masalah sosial yang berlaku sejak kebelakangan ini. Kurangnya keprihatinan daripada masyarakat dan keluarga, menyebabkan masalah seperti hubungan bebas antara remaja mudah berlaku tanpa disekat.
Maka, tidak hairanlah semakin banyak kejadian pembuangan bayi sejak kebelakangan ini. Apa yang menyedihkan ialah masalah yang timbul ini, banyak melibatkan masyarakat Melayu.
Apakah ini bermakna institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita kini semakin longgar? Jika benar, sesuatu perlu dilakukan supaya ia tidak menjadi parah. Kita tidak mahu kejadian yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah berulang disebabkan faktor itu.