
PERJUANGAN UMNO perlu diteruskan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini perlu terus diwariskan sebagai pusaka kepada generasi akan datang serta hasrat untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang sentiasa menghargai semangat perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dapat dicapai.
Senario semasa, UMNO berhadapan dengan pelbagai cabaran bukan sahaja dalam parti dan dalam negara malah situasi global juga turut memberi impak kepada rakyat.
Dalam usaha untuk terus memperteguhkan survival bangsa, UMNO hari ini bukan hanya berdepan dengan cabaran bagi menangani pembangkang yang sentiasa sahaja mencari salah dan silap di samping pelbagai provokasi dan tohmahan dilemparkan sebaliknya, cabaran yang lebih besar lagi adalah berdepan dengan ahli-ahli dalam parti sendiri.
Apa yang perlu difahami, UMNO bukan sahaja berpolitik, UMNO juga telah menerajui reformasi budaya dalam mempertahankan diri kita ledakan maklumat dan kemewahan di samping krisis lain.
Namun, kekukuhan dan kebijaksanaan UMNO sebagai sebuah parti keramat telah mengambil pendekatan terbaik dalam menangani masalah tersebut.
Dalam masa yang sama, cabaran-cabaran dalaman yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk menjatuhkan parti dan cuba menumbangkan Kerajaan sememangnya ditangani dengan cermat.
Justeru, kematangan percaturan politik dalam UMNO dan kebolehan pemimpin-pemimpinnya dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas mampu untuk menyatukan masyarakat menerusi dasar-dasar yang adil dan saksama.
Pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu adalah pelengkap kepada kehidupan seimbang iaitu memberi penekanan ke arah masyarakat yang lebih cemerlang dan ini akan menjadi satu penggerak ke arah pembangunan dan kesejahteraan negara secara berterusan.
Bertemakan ‘1Malaysia, Kemakmuran Bersama’ Bajet 2010 mampu memberi impak positif kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar untuk menikmati kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggariskan landasan yang akan menjadi hala tuju rakyat dalam merialisasikan apa yang dinamakan gagasan 1Malaysia. Gagasan ini berteraskan nilai-nilai murni yang berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan, dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dalam ertikata lain, apa jua yang akan dilakukan oleh Kerajaan maka rakyat menjadi keutamaan lantas dalam masa yang sama ia turut memerlukan pengorbanan dan kerjasama yang padu dari semua masyarakat.
Sesungguhnya, sebagai sebuah negara yang bercita-cita besar, Kerajaan tidak pernah tunduk dengan setiap halangan dan cabaran yang datang malahan ia ditempuh dengan semangat dan perancangan tersusun.
Sumber : UMNO online